“Akmal,
awak boleh buka mata awak sekarang. Buka perlahan-lahan, mula-mula memang sakit
sikit”
“Baik
Dr. Anuar. Tapi saya boleh nampak macam
dulu balik ke Dr?”
“Awak
jangan risau, dengan izin Allah, awak dapat melihat kembali.”
Akmal membuka matanya
perlahan-lahan dengan berbaki sedikit keberanian di dalam dirinya. Dia sangat
takut jika dia tidak dapat melihat
kembali. Cukuplah dengan ujian yang dihadapinya. Ujian itu amat perit
baginya. Sudahlah dia hanya hidup sebatang kara, tidak beribu dan berbapa
kerana ibu dan bapanya telah meninggal dunia di dalam suatu kemalangan sewaktu
dia berusia dua tahun. Selepas kematian kedua ibu bapanya, dia telah
ditempatkan di rumah anak-anak yatim kerana dia tidak mempunyai saudara mara
yang sudi menjaganya. Akmal membuka matanya perlahan-lahan. Terasa pedih
matanya tetapi dia tetap menguatkan semangat
“Doktor. saya boleh lihat kembali! Alhamdulillah. Terima
kasih Doktor.”
“Sama-sama Akmal, gunalah mata tu dengan sebaiknya. Jaga
ia baik-baik kerana mata itu dah jadi sebahagian daripada kamu.”
“Baiklah Dr. Anuar. Saya akan menjaga mata ini sebaiknya.
Bila saya boleh keluar wad? Saya tak sabar nak balik ni Doktor.”
“Lagi dua hari lagi kamu boleh keluar kerana saya ada
beberpa pemeriksaan yang akan saya lakukan kepada kamu. Selepas itu kamu boleh
keluar.”
Akmal sangat gembira kerana
dia dapat melihat kembali. Sudah lama rasanya dia tidak dapat melihat. Dunia di
sekelilingnya yang terasa gelap sebelum ini telah menjadi cerah dan
berwarna-warni semula. Orang pertama yang ingin dijumpainya ialah Hariz iaitu
teman sepermainannya sejak kecil di rumah anak-anak yatim dahulu. Kini apabila
mereka telah dewasa, mereka sendiri sibuk dengan kerja masing-masing. Namun
mereka akan mencari masa untuk berjumpa dan bercerita bersama. Selalunya mereka
akan berjumpa pada hari minggu. Mereka juga akan pergi melawat ke rumah
anak-anak yatim yang pernah mereka duduki untuk berjumpa dengan pengasas rumah
itu iaitu Puan Aminah yang telah mereka anggap sebagai ibu mereka.
**************************************************************
Selepas dua hari, Akmal dibenarkan keluar dari
hospital, lantas dia terus pulang ke rumahnya yang agak lama ditinggalkannya
kerana kemalangan yang dihadapinya sebulan yang lalu. Sesampainya dia di rumah,
dia terus menuju ke katilnya dan terus berbaring di atas katilnya. Tubuhnya
merasa sangat selesa berbaring di atas katilnya sendiri daripada katil hospital
yang kecil dan tidak empuk itu.
“Ahh, leganya baring atas katil sendiri.”
Tiba-tiba Akmal teringat
akan Hariz lantas mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi Hariz tetapi tidak
berangkat. Sesungguhnya dia amat rindu akan sahabatnya itu dan dia ingin sekali
berjumpa dan berkongsi cerita dengan Hariz. Setelah beberapa kali panggilannya
tidak berjawab, dia mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Hariz. Disebabkan
keretanya rosak teruk akibat kemalangan yang dihadapinya dulu, dia bercadang untuk
menaiki pengangkutan awam ke rumah Hariz.
*************************************************************
Ponnn!!!!!
Kedengaran bunyi hon kereta
di hadapannya membingitkan telinga.
“Hoi, mau mati kah??!!
Seorang pemandu kereta
kelihatan amat marah kerana laluannya dihalang oleh Akmal. Akmal seperti
kebingungan di tengah jalan. Lagaknya seperti orang terlihat hantu kerana
sewaktu dia hendak melintas jalan di lintasan pejalan kaki itu, dia seperti
menyaksikan suatu kemalangan di hadapan matanya sendiri. Lantas dia terus
berlari ke tengah jalan untuk melihat orang yang dilanggar itu. Yang peliknya,
orang yang dilanggar itu seperti pernah dilihatnya. Tetapi apabila dia sampai
di tengah jalan itu, kesan kemalangan tidak langsung ada seperti yang
dilihatnya tadi. Dia seperti mengalami satu mimpi yang amat mengejutkan seluruh
adrenalinnya. Dia hanya terpaku di situ tanpa sebarang riak. Kakinya seperti
ditindih batu, tidak mampu bergerak untuk melangkah. Sehinggalah dia berasa
dirinya ditarik oleh seseorang, barulah dia berada dalam keadaan yang sedar
namun tidak sedar sepenuhnya. Dia ditarik sehingga ke tepi jalan oleh seorang
gadis yang kelihatan seperti mengenalinya.
“Akmal, awak ni dah kenapa? Terpinga-pinga kat tengah
jalan macam tu. Bahaya awak tahu tak? Dahlah awak baru lepas keluar hospital,
awak sebenarnya nak ke mana ni?”
Kata-kata gadis itu seperti
tidak terkesan di telinganya. Dia hanya terpinga-pinga seperti orang bodoh.
Hakikatnya dia masih terbayang-bayang akan apa yang dilihatnya tadi. Otaknya
masih belum bersedia untuk bertindak balas dan menerima apa-apa maklumat
setakat ini. Dia masih dalam keadaan terkejut!
“Akmal, hey Akmal! Kau okey ke?”
Gadis itu melambai-lambaikan
tangannya ke arah wajah Akmal untuk menyedarkan ‘lamunannya’. Kelihatannya
gadis itu beriak wajah risau apabila melihat keadaan Akmal yang seperti itu. Akhirnya
Akmal tersedar daripada peristiwa itu dan menunjukkan riak wajah hairan melihat
gadis itu di hadapannya.
“Err, Dian, macam mana kau boleh ada dekat sini?”
Akmal terkejut melihat gadis
di hadapannya. Dalam fikirannya tertanya-tanya bagaimana gadis itu boleh muncul
di hadapannya dalam keadaannya seperti itu. Dalam keadaan kebingungan itu,
Akmal mengikut juga derap langkah gadis itu sehingga sampai di sebuah restoran
yang berdekatan.
“Okay, tell me what happen to you
Akmal?”
Akmal hanya mampu berdiam
diri. Lidahnya hanya kelu dan mulutnya tidak mampu mengeluarkan sebarang
kata-kata.
“Hey, Akmal! Kau ni kenapa? Cuba cerita dekat aku. Kenapa
kau berdiri kat tengah jalan macam orang gila tadi?”
“Err, Dian. Aku nak pergi rumah Hariz. Dah lama rasanya tak
jumpa dia. Lagipun aku telefon tak berjawab. Masa kat hospital pun dia tak ada
melawat aku. Mungkin dia sibuk kot. Sebab itulah aku nak pergi rumah dia.
Jomlah kita pergi rumah dia sekali.
“Akmal, sebenarnya aku nak cakap pasal Hariz ni. Err,
sebenarnya Hariz…
Tiba-tiba telefon bimbit
Akmal berbunyi nyaring minta dijawab dan fokusnya telah beralih kepada
telefonnya. Setelah dia selesai bercakap di telefon, Dian telah tiada di meja
tersebut. Sekali lagi dia kebingungan!
**************************************************************
Hujan lebat berselang seli
dengan guruh yang berdentum pada malam itu membuatkan penglihatan Akmal amat
kabur. Disebabkan curahan hujan yang amat lebat itu ditambah pula dengan
keadaan malam yang gelap gelita itu menambahkan lagi kekaburan di matanya. Dia
sedang berada di sebuah perhentian bas yang diterangi dengan sebatang lampu
jalan yang samar- samar cahayanya. Dalam kesamaran malam itu, Akmal dapat
melihat susuk tubuh seseorang yang sedang melintas jalan menuju kepadanya.
Mungkin seseorang itu juga sepertinya mahu menunggu bas. Tiba-tiba dia terlihat
cahaya lampu sebuah kereta sedang meluncur dengan laju membelah jalan raya
betu-betul menuju kepada susuk tubuh seseorang itu. Berkemungkinan pemandu
kereta itu tergesa-gesa dan tidak nampak ada orang mahu melintas jalan itu
lalu,
Bammmm!!!
Kereta itu telah melanggar
seseorang itu dengan dahsyat sekali. Susuk tubuh orang itu terpelanting
sehingga ke belakang kereta. Darah berwarna merah pekat memercik jalan raya. Akmal
terpaku dan tidak tahu berbuat apa-apa. Kejadian itu betul-betul berlaku di
hadapan matanya. Baru dia teringat bahawa kejadian itu telah pun disaksikannya
semasa dia di lintasan pejalan kaki tadi. Dia terus bergegas ke tengah jalan
untuk melihat keadaan orang yang mengalami kemalangan itu. Tetapi apabila dia
sampai di situ, jalan itu kosong dan tiada pun kesan-kesan kemalangan. Akmal
tercengang dan bertambah hairan. Sememangnya inilah kejadian yang telah berlaku
semasa dia di lintasan pejalan kaki tadi. Tiba-tiba ada satu cahaya yang
menyilaukan mata menuju laju kepadanya. Ternyata sebuah kereta meluncur laju
kepadanya dan,
“Arrrgghhh!!!”
Akmal terbangun daripada
tidurnya. Tubuhnya dibasahi dengan manik-manik peluh seperti dia baru lepas
berlari. Bajunya lencun dibasahi peluh. Badannya pula terketar-ketar kerana
amat terkejut dengan mimpi yang dialaminya sebentar tadi. Dia melihat jam
tangannya yang menunjukkan pukul tiga pagi.
“Ah, aku mimpi rupanya. Tapi kenapa aku mimpi macam tu?”
Pelbagai persoalan
berasak-asak di kepalanya. Dia langsung tidak dapat tidur pada malam itu kerana
terlalu banyak pertanyaan yang timbul di kepalanya.
*************************************************************
Ding, dong, ding, dong.
Loceng rumah Akmal berbunyi
berulang kali membuatkan dia terjaga daripada tidur. Akibat dengan mimpi yang
sama berulang kali mengganggu tidurnya, dia tidak dapat tidur dengan nyenyak
pada setiap malam dan kepalanya berasa sakit. Akmal lantas membuka pintu
rumahnya dan melihat susuk tubuh yang amat dikenalinya berada di depan pintu.
Lantas dia memeluk tubuh itu dengan erat.
“Riz, aku rindu kau. Kau pergi mana? Aku telefon kau tak
jawab”
“Aku ada je kat sini Mal. Kau okey ke ni? Muka macam
serabut je. Kau ada masalah ke?”
“Memang aku ada masalah Riz. Masuklah dulu, nanti aku
cerita.”
Mereka memasuki rumah Akmal
sambil berbual-bual bersama. Hariz membancuh dua cawan air kopi untuk mereka
berdua. Sudah menjadi kebiasaan apabila Hariz bertandang ke rumah Akmal, dia
akan membancuh air kopi buat mereka berdua.
“Hah, ceritalah cepat. Apa yang kau nak cerita. Aku
dengar ni.”
“Aku
mimpi buruk la Riz. Masalahnya mimpi berulang-ulang setiap malam kot. Aku
sampai takut tinggal kat rumah ni sorang-sorang.”
Hariz berdiam diri seketika
sambil menghirup air kopi yang dibancuhnya. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang
riak. Dia seperti di dalam dunianya sendiri. Hanya memandang terus ke hadapan,
seperti mengelamun yang jauh. Setelah berjeda seketika, Hariz meletakkan
cawannya lalu memandang tepat ke wajah Akmal.
“Apa yang kau takutkan Mal? Biasalah mimpi kan. Orang
cakap kalau kita mimpi orang yang sama berulang kali maknanya orang tu rindukan
kita.”
“Kau ni merepek apa ni Riz. Orang tu pun aku tak tahu
siapa. Eee, dah la seram mimpi tu, kau pulak kata rindu la apa lah. Bukan nak
membantu, lagi takut adalah.”
Akmal membalas kata-kata
Hariz dengan muka yang cuak. Hariz hanya memandang wajah Akmal sambil tersenyum.
“Tapi kan Riz, aku pelik la, aku kan accident bulan lepas. Aku sedar aku ada langgar orang. Tapi aku tak
jumpa langsung dan tak tahu langsung pasal orang tu. Kau ada melawat aku kan
masa aku koma hari tu? Kau ada jumpa tak orang yang aku langgar tu?”
Hariz hanya menggelengkan
kepalanya sebagai membalas pertanyaan yang ditanya oleh Akmal.
“Haa, lagi satu Riz, dua tiga hari lepas aku ada terjumpa
tunang kau, Dian. Tak sempat aku berborak dengan dia, tiba-tiba dia dah hilang.
Dia ada bagi tahu kau tak yang dia jumpa aku?”
Sekali lagi Hariz hanya
menggelengkan kepalanya sebagai tanda dia menjawab soalan Akmal. Geram dengan
jawapan ringkas yang diberi oleh Hariz, Akmal telah membaling bantal kecil
tepat kena pada muka Hariz sebagai melepaskan geram.
“Hoi, apa baling-baling ni! Hilang kehenseman aku tahu
tak?”
“Kaulah punya pasal, punyalah panjang aku tanya kau, kau
main geleng je kan dengan aku. Haa, padan muka kau Riz. Eh, jomlah kita keluar.
Aku dah tepu dah dekat dalam rumah ni. Lagipun aku dah lama tak lepak dengan
kau. Malam ni kau tidurlah kat rumah aku.”
“Aku on je, dah siap dah ni. Tunggu kau siap je. Cepatlah
siap.”
**************************************************************
Mereka sampai di Mc Donald
Mid Valley. Mereka pergi menaiki teksi kerana kereta masing-masing ada di
bengkel. Mereka berjalan sambil berbual-bual antara satu sama lain. Semasa
berjalan masuk ke dalam Mc Donald itu, Akmal perasan orang sekeliling memandang
mereka dengan muka yang pelik tetapi dia langsung tidak mengendahkan pandangan
itu. Setelah sampai di kaunter restoran Mc Donald itu, mereka beratur menunggu
giliran untuk memesan makanan. Setelah sampai giliran mereka di kaunter mereka
memesan makanan mereka.
“Kau nak makan apa Riz?, kali ni biar aku belanja kau.”
“Aku nak set Big
Mac satu. Kalau macam tu aku tunggu kat meja lah.”
“okey. Haa, adik kasi Big
Mac dua set. Yang besar punya ya.”
“Err, baik. Sekejap ya Encik.”
Kali ini Akmal berasa
bertambah hairan kerana pelayan itu sendiri memandangnya dengan pandangan yang
pelik. Ingin sahaja dia bertanya kepada pelayan itu sebab dia memandangnya
dengan pandangan begitu, namun hasratnya dilupakan kerana pelayan itu seperti
sibuk mengambil pesanan pelanggan lain di situ. Setelah mendapat makanan yang
dipesannya, dia melangkah menuju ke meja yang diduduki oleh Hariz. Hariz
memilih meja yang agak tersembunyi daripada meja-meja yang lain supaya mereka
boleh berbual dengan selesa. Mereka menikmati makanan mereka sambil
berbual-bual.
“Riz, aku pelik la dengan semua orang hari ni. Semua
orang pandang pelik dekat kita daripada kita sampai sini tadi. Kau tak perasan
ke?”
“Ala, biasalah tu Mal, biarkan je la. Bukan luak pun
kalau diorang pandang. Lantaklah Mal. Kau buat tak tahu dah lah.”
“Betul jugak cakap kau tu Riz. Mungkin perasaan aku je
kot.”
Mereka menyambung makan
tanpa menyedari mereka sedang diperhatikan oleh seseorang. Begitulah rutin
Akmal dan Hariz setiap minggu. Hari demi hari berlalu dan sudah tiga bulan
Hariz tidur di rumah Akmal. Mereka akan berjumpa selepas habis waktu kerja dan
bermain permainan video bersama-sama di rumah Akmal. Tetapi setiap malam Akmal
tetap mengalami mimpi yang sama dan hal ini semakin menyesakkan fikirannya.
Apabila dia memberitahu kepada Hariz tentang mimpinya, jawapan yang sama juga
diberikan oleh Hariz setiap hari sehingga Akmal berasa geram dengan sikap Hariz
yang seperti tidak bersungguh-sungguh mendengar ceritanya. Pada masa yang sama
juga, tindak-tanduk mereka diperhatikan oleh seseorang sejak sebulan yang lalu.
Orang itu sepertinya risau melihat keadaan itu dan belum ada keberanian untuk
bersemuka. Sehinggalah pada suatu petang Sabtu, Akmal keluar seperti biasa ke
Mid Valley dan singgah makan di restoran di situ. Hariz tidak menyertainya pada
hari itu kerana katanya sibuk di tempat kerja.
‘Aku mesti bersemuka dan
terangkan perkara yang sebenar kepada dia’
bisik hati orang itu. Dia mengumpul segala kekuatan yang ada untuk
bersemuka dengan mereka.
“Err, hai Akmal. Sorang je ke?”
“Eh, Dian. Marilah join aku. A’ah, sorang je harini. Riz
tu banyak keja kat pejabat katanya. Haa, duduk sini. Aku ada benda sikit nak
tanya kau ni.”
Dian menunjukkan riak wajah
yang sukar dimengertikan. Wajahnya tampak seperti orang yang serabut memikirkan
sesuatu. Wajahnya juga tampak seperti bersedih.
“Akmal, boleh tak kalau aku nak bercakap dengan kau? Aku
ada hal penting yang aku kena jelaskan pada kau. Tapi bukan di sini.”
“Kau nak jelaskan apa Dian? Macam serius je bunyinya.
Sebelum tu aku nak tanya kau. Mana kau pergi hari tu? Lepas aku habis jawab
panggilan terus kau taka da.”
Namun Dian hanya diam dan
tidak berkata apa-apa tetapi wajahnya kelihatan mendung.
“Kenapa kau diam Dian? Ada apa-apa yang tak kena ke?”
“Kau ikut je la aku Mal. Nanti kau akan tahu semuanya.
Lagipun sini bukan tempat yang sesuai untuk aku jelaskan semua dekat kau.”
“Okeylah, kalau kau dah cakap macam tu. Jom.”
Mereka berjalan beriringan
keluar daripada restoran tersebut dan menuju ke tempat yang dikatakan Dian.
**************************************************************
“Apa kau cakap ni Dian? Aku tak fahamlah.”
“Hariz dah meninggal empat bulan lepas.”
“Tak, aku tak percaya. Kau ni agak-agaklah nak buat lawak
pun. Dia tu tunang kau kot. Sampai hati kau cakap macam tu. Nanti kalau dia
betul-betul mati baru kau tahu. Suka sangat buat lawak tak merepek. Aku
hari-hari jumpa dia. Kau tak jumpa dia langsung ke?
“Tu imaginasi kau je la Mal. Hariz dah lama tak ada. Dia
dah meninggal. Aku sendiri yang tengok masa pengebumian dia. Kau faham tak?”
“Tak mungkin Dian, tak mungkin. Aku ada dengan dia
tiap-tiap hari. Aku berborak dengan dia, main video game dengan dia, minum
kopi, makan dengan dia. Dia ada Dian. Dia ada je dengan aku.
Akmal mula cuak. Dia tidak
dapat menghadam perkara yang baru diberitahu oleh Dian itu. Dia sama sekali
tidak percaya dengan kata-kata dia. Baginya ini adalah Dian dan Hariz telah
merancang untuk mengenakannya.
“Kalau
kau tak percaya, kau pergilah ke hospital tempat kau dirawat dulu. Kau tanya
sendiri dengan Dr. Anuar yang merawat kau tu. Mata tu. Mata tu. Ah, aku tak
mampu nak ceritakan. Cuma aku nak nasihatkan kau. Jangan terlalu ikutkan
perasaan kau tu. Baliklah kepada Allah, mohon agar kau dijauhkan daripada
segala gangguan. Kalau kau perlukan apa-apa atau kau dah bersedia terima
kenyataan, hubungi aku Mal. Aku balik dulu”
“Apa
yang kau cakap ni Dian?”
Akmal tidak mampu berkata
apa-apa. Dia menjadi semakin keliru dan tertekan. Dia bingung sama ada mahu
mempercayai kata-kata Dian ataupun mempercayai dirinya sendiri. Dia sendiri
tiada jawapan untuk itu. Ingin sahaja dia memaki dan memarahi Dian kerana
berkata seperti itu tetapi lidahnya terkelu bagaikan ais batu. Dian menangis
teresak-esak dan ingin berlalu pergi dari situ. Akmal diam tidak berkutik di
tempat dia berdiri. Dia hanya memandang pemergian Dian dengan pandangan sepi.
Lidahnya kelu untuk bertanya lebih lanjut. Tiba-tiba dia teringatkan Dr. Anuar
yang merawatnya empat bulan lalu. Lantas dia bergegas menaiki teksi ke Hospital
untuk berjumpa dengan Dr. Anuar. Apa yang penting baginya ialah mencari jawapan
kepada setiap persoalan yang membelenggu dirinya selama ini. Dia berharap agar
misteri mimpinya selama ini dapat dirungkaikan. Sesampainya di hospital, dia
terus berjumpa dengan Dr. Anuar untuk mendapatkan jawapan tentang persoalan
yang berasak-asak di benaknya.
Tok, tok, tok,
“Masuk”
“Assalamualaikum Dr, saya
nak penjelasan daripada Dr.”
“Waalaikumussalam Akmal.
Kalau ya pun, duduklah dulu. Tak runtuh lagi pejabat saya ni. Hmm, apa yang
kamu nak tahu?”
“Siapa penderma mata saya?”
“Oh, itu perkara yang sulit.
Saya tak boleh bagi tahu sebab penderma mata ni suruh saya rahsiakan.”
“Tolonglah Doktor. Saya
betul-betul perlukan jawapan”
“Maaf
Akmal, saya tidak boleh memberitahu hal ini kepada sesiapapun. Penderma mata
kamu dah amanahkan kepada saya.
Akmal menunjukkan riak wajah
yang amat hampa kerana Dr. Anuar tidak mahu memberitahu tentang perihal
penderma matanya. Tetapi dia tidak berputus asa. Akmal tahu dia masih boleh
mendapatkan sedikit maklumat tentang dirinya dan Hariz.
“Kalau
macam tu Doktor ada tak nampak kawan saya datang melawat semasa saya terlantar
dulu? Namanya Hariz. Dia cakap, dia selalu datang melawat saya semasa saya koma
dahulu.”
Riak wajah Dr. Anuar agak
terkejut setelah mendengar pertanyaan Akmal tetapi dikawal dengan baik agar
nampak bersahaja.
“Hariz? Tak ada pulak. Sebab masa kamu kemalangan dulu, kamu
dihantar bersama dengan seorang lelaki yang kamu dah langgar. Namanya pun Hariz
jugak. Tapi saya tak pastilah sama ada dia kawan kamu atau tak”
Akmal bertambah resah. Dia
semakin serabut. Kepalanyanya semakin sakit kerana pelbagai persoalan
berasak-asak di mindanya.
“Di mana Hariz yang saya langgar tu doktor?”
“Oh, dia sudah meninggal dunia selepas seminggu
dimasukkan di wad kerana mengalami pendarahan di kepala. Tetapi kalau kamu
hendak tahu lebih lanjut tentang Hariz, kamu boleh berjumpa dengan tunang
Hariz. Kalau tidak silap, namanya Dian. Nanti saya beri nombor telefonnya untuk
kamu hubungi.”
“Tak mungkin doktor! Tak
mungkin! Katakan semua ini tak benar doktor. Tak benar!”
Akmal menjerit seperti orang
gila menengking Dr. Anuar kerana baginya semua ini tidak masuk akal. Kepalanya
terasa amat sakit. Keadaan di sekelilingnya menjadi berpusing-pusing
sehinggalah pandangannya gelap. Dia jatuh pengsan kerana sangat terkejut!
**************************************************************
Malam itu hujan sungguh
lebat turun membasahi bumi. Akmal memandu kereta pacuan empat rodanya dengan
laju seperti tergesa-gesa mahu sampai di suatu tempat. Tiba-tiba telefon
bimbitnya berbunyi nyaring minta diangkat.
“Assalamualaikum Mal. Kau kat mana ni?”
“Waalaikumussalam Riz. Aku tengah memandu ni. Tunggu
kejap je, kejap lagi aku sampai.”
“Haa, kau tak payah ambil aku dekat rumah. Ambil aku di
stesen bas dekat dengan rumah aku. Aku dah kat luar ni. Baru nak lintas jalan
ke stesen bas ni. Jangan drive laju-laju. Bahaya.”
“Haa, okey Riz. Aku dah nak sam…
Dummm!!!
Akmal terbangun daripada
pengsan. Dia ternampak Dian duduk di atas kerusi di sebelah katilnya di
hospital itu sambil memandangnya.
“Dian, betulkah apa yang kau cakap selama ni? Hariz dah
tak ada? Aku yang langgar?”
Dian hanya mengangguk tanpa
mengeluarkan sebarang kata. Hanya airmata yang mengalir di lekuk pipinya. Pada saat melihat anggukkan daripada Dian, lutut Akmal terasa lembik dan dia jatuh terjelepuk di lantai hospital. Terasa seluruh anggota badannya lumpuh sebaik sahaja mengetahui kenyataan itu. Dia menangis dan memukul-mukul kepalanya berkali-kali. Ternyata dialah punca sahabatnya meninggal dunia. Hatinya bagaikan ingin meletup kerana terlalu banyak melepaskan kesedihan apabila mendapat tahu perkara tersebut. penyesalan bertimpa-timpa membebani dirinya dan dia juga menyedari hal ini tidak dapat diperbaikinya lagi. Hakikatnya, dia telah kehilangan satu-satunya sahabat yang dia sayang!
*************************************************************
Dian membawa Akmal ke tanah
perkuburan untuk menunjukkan kubur Hariz kepada Akmal. Setelah melihat kubur
Hariz, Akmal menangis dan meraung kerana rasa bersalah yang teramat kepada
Hariz. Dia berulang kali merintih dan memohon maaf kepada Dian.Dia sememangnya tidak
menyangka sama sekali bahawa dialah orang yang melanggar sahabatnya itu. Kini baru
dia mendapat jawapan kepada mimpinya yang saban hari mengganggu lenanya. Keluhan
demi keluhan menyesal dikeluarkan daripada mulutnya kerana dibebani rasa
bersalah dan sedih di atas kematian sahabatnya yang dia sendiri bunuh!
“Mata yang kau ada sekarang tu ialah mata Arwah Hariz,
Mal. Kau jagalah mata itu baik-baik Mal. Aku tahu, Riz sangat sayangkan kau
Mal. Apa-pun yang dia buat, dia akan ingat kau. Sebelum dia meninggal, dia ada
pesan kepada aku supaya aku beritahu kepada kau yang walau di mana pun kau
berada, walau ke mana pun kau pergi, dia tetap ada dengan kau.”
“Tapi aku rasa bersalah sangat Dian. Aku dah langgar
dia.”
“Benda dah berlaku Mal. Dah takdir. Mungkin ada
hikmahnya. Aku redha Mal. Tuhan lebih sayangkan Hariz. Kita kena terima takdir
ni Mal. Bukan kau saja yang sedih. Aku pun sedih. Kalau kau teringatkan dia,
kau sedekahkanlah surah Al- Fatihah kepada dia. Setidak-tidaknya kita dah buat
sesuatu untuk dia di sana.”
**************************************************************
Selepas dua tahun, Akmal
telah mampu menerima takdir yang menimpanya. Sejak itu dia tidak lagi
dibelenggu dengan mimpi yang dialaminya dahulu. Hidupnya kini tenang. Tetapi
kadang kala dia ada juga melihat susuk badan Hariz di mana-mana. Hariz hanya
memandangnya dari jauh dengan riak wajah tenang sambil tersenyum dan setiap
kali dia ternampak Hariz, dia akan terus sedekahkan surah Al-Fatihah kepada
arwah Hariz. Sesungguhnya dia amat sayangkan sahabatnya itu. Teringat dia
kepada kenangan mereka berdua. Kata-kata Hariz dahulu masih tersisip kemas di
dalam ingatannya.
“Mal, kalau aku dah tak ada nanti, kau jangan sedih.
Sebab aku akan ada di mana-mana saja kau berada dan ke mana saja kau pergi. Aku
akan melihat melalui mata kau.
Masih segar diingatannya
kata-kata Hariz sambil tersenyum kepadanya suatu ketika dahulu.
“Hariz,
aku sangat rindukan kau, sahabat. Semoga kau bersemadi di sana dengan tenang.”