MUZIK RELAX

Tuesday 21 June 2016

Janji tinggal janji

Assalamualaikum...di sini disertakan dengan salah satu limpahan jiwa saya setahun yang lalu..Tak tahulah ini dipanggil puisi atau apa..sengaja melepaskan rasa dengan tulisan supaya tidak menjadi gila...dipersilakan baca tulisan yang tak seberapa ini..

Jari sakit tidak terperi,
Mendail nombor teman sendiri,
Menekan panggilan berkali-kali,
Namun hampa tidak terperi,

Beribu aksara sudah ditaip,
Berjuta huruf sudah dikutip,
Namun balasan tidak terhadap,
Biarpun mesej sudah ditatap,

Hadirku bukan niat menyerbu,
Bukan juga untuk mengganggu,
Tetapi aku penat menunggu,
Menunggu janjimu yang tinggal tugu,

Dahulu engkau petah bicara,
Namun kini penuh sandiwara,
Di mana letaknya tanda saudara,
Jikalau saudara sanggup diperdaya.

Malang sekali nasib hamba,
Diberi madu di balas tuba,
Sekian lama menelan dusta,
Mohon janjimu ditepati jua

Saturday 18 June 2016

Katarsis

Katarsis...
Sudah selesai urusan hati..
Walaupun jawapannya sangat pasti..
Namun gagah juga mencuba..

Jauh merenung ke jendela..
Bertanya-tanya tentang diri...
Adakah mahu mencuba..
Ataupun berdiam sahaja..

Sahabatku mencelah..
Tidak rugi mencuba..
Sahabatku berkata..
Tidak ada salahnya

Ahh...ini di luar kemampuan ku!
Tidak pernah ku sekusut ini..

Puas sudah akal diganggu..
Puas sudah hati mendesak..
Puas juga keinginan memaksa..
Akhirnya diturutkan jua rasa..

Dengan secebis kekuatan..
Dengan senipis keyakinan..
Berbekalkan sebekas kecil buah fikiran..
Ku gagahkan juga diri mencuba..

Seharian menunggu balasan..
Namun tidak juga berkemunculan..
Penantian satu penyiksaan..
Penyiksaan yang amat menyakitkan..
Walau balasannya sudah diketahui..
Tetap berdegil menunggu kepastian..

Akhirnya penantian berakhir..
Lupus sudah semua harapan..
Jawapan sudah tersedia..
Jelas terbukti segala..

Menyesal??
Tiada setitis pun merecik di minda..
Malu?
Sudah lenyap diculik kegelapan..
Hampa?
Sudah dilenyapkan sang hujan..
Lega?
Hadir bepusu-pusu memenuhi ruangan yang paling dalam..

Tadahan tangan tanda bersyukur..
Gugur sudah beban hebat..
Terasa ringan bahu dan minda..
barulah ketenangan mengetuk jendela..

Penciptamu lebih tahu..
Segala perihal dirimu..
Semuanya tentang nasibmu..
Keseluruhan akan takdirmu..

Suatu ketika nanti..
Akan ada yang terbaik buatmu..
Akan ada yang pasti khas untukmu..
Semuanya mainan masa..

Yang pasti akan datang menemui..
Ya, akan ditemui..
Suatu ketika nanti!

Catatan jiwa
Katarsis
190616
N Park.

Monday 13 June 2016

Masa sudah pastinya tak boleh diputar kembali..
Kenangan tidak langsung boleh dibuang begitu sahaja..
Memori pula tidak mungkin tercantas dengan sendiri..
Bila saja ia menggamit ingatan..
Bila saja ia berputar-putar di kotak memori..
Hati pun meronta-ronta untuk memutarkan lebih lagi..
Akhirnya tersungkur sendiri..
Terpaksa menanggung beban kembali..
Beban yang terlonggok di hati..
Hingga ia terbang menyembunyikan diri..
Namun ia akan kembali..
Membuatmu tersungkur lagi..
Begitulah putarannya..
Terpaksa juga engkau hadapi..
Hingga kau bertemu dengan yang pasti..
Ya, yang pasti!

Catatan hati
Kenangan menggamit memori
130716
USM

Sunday 5 June 2016

SEGENGGAM PANAHAN MEMORI

   
“Akmal, awak boleh buka mata awak sekarang. Buka perlahan-lahan, mula-mula memang sakit sikit”
“Baik Dr. Anuar.  Tapi saya boleh nampak macam dulu balik ke Dr?”
“Awak jangan risau, dengan izin Allah, awak dapat melihat kembali.”
Akmal membuka matanya perlahan-lahan dengan berbaki sedikit keberanian di dalam dirinya. Dia sangat takut jika dia tidak dapat melihat  kembali. Cukuplah dengan ujian yang dihadapinya. Ujian itu amat perit baginya. Sudahlah dia hanya hidup sebatang kara, tidak beribu dan berbapa kerana ibu dan bapanya telah meninggal dunia di dalam suatu kemalangan sewaktu dia berusia dua tahun. Selepas kematian kedua ibu bapanya, dia telah ditempatkan di rumah anak-anak yatim kerana dia tidak mempunyai saudara mara yang sudi menjaganya. Akmal membuka matanya perlahan-lahan. Terasa pedih matanya tetapi dia tetap menguatkan semangat
            “Doktor. saya boleh lihat kembali! Alhamdulillah. Terima kasih Doktor.”
            “Sama-sama Akmal, gunalah mata tu dengan sebaiknya. Jaga ia baik-baik kerana mata itu dah jadi sebahagian daripada kamu.”
            “Baiklah Dr. Anuar. Saya akan menjaga mata ini sebaiknya. Bila saya boleh keluar wad? Saya tak sabar nak balik ni Doktor.”
            “Lagi dua hari lagi kamu boleh keluar kerana saya ada beberpa pemeriksaan yang akan saya lakukan kepada kamu. Selepas itu kamu boleh keluar.”
Akmal sangat gembira kerana dia dapat melihat kembali. Sudah lama rasanya dia tidak dapat melihat. Dunia di sekelilingnya yang terasa gelap sebelum ini telah menjadi cerah dan berwarna-warni semula. Orang pertama yang ingin dijumpainya ialah Hariz iaitu teman sepermainannya sejak kecil di rumah anak-anak yatim dahulu. Kini apabila mereka telah dewasa, mereka sendiri sibuk dengan kerja masing-masing. Namun mereka akan mencari masa untuk berjumpa dan bercerita bersama. Selalunya mereka akan berjumpa pada hari minggu. Mereka juga akan pergi melawat ke rumah anak-anak yatim yang pernah mereka duduki untuk berjumpa dengan pengasas rumah itu iaitu Puan Aminah yang telah mereka anggap sebagai ibu mereka.

**************************************************************

Selepas dua hari, Akmal dibenarkan keluar dari hospital, lantas dia terus pulang ke rumahnya yang agak lama ditinggalkannya kerana kemalangan yang dihadapinya sebulan yang lalu. Sesampainya dia di rumah, dia terus menuju ke katilnya dan terus berbaring di atas katilnya. Tubuhnya merasa sangat selesa berbaring di atas katilnya sendiri daripada katil hospital yang kecil dan tidak empuk itu.
            “Ahh, leganya baring atas katil sendiri.”
Tiba-tiba Akmal teringat akan Hariz lantas mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi Hariz tetapi tidak berangkat. Sesungguhnya dia amat rindu akan sahabatnya itu dan dia ingin sekali berjumpa dan berkongsi cerita dengan Hariz. Setelah beberapa kali panggilannya tidak berjawab, dia mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Hariz. Disebabkan keretanya rosak teruk akibat kemalangan yang dihadapinya dulu, dia bercadang untuk menaiki pengangkutan awam ke rumah Hariz.

*************************************************************
Ponnn!!!!!
Kedengaran bunyi hon kereta di hadapannya membingitkan telinga.
            “Hoi, mau mati kah??!!
Seorang pemandu kereta kelihatan amat marah kerana laluannya dihalang oleh Akmal. Akmal seperti kebingungan di tengah jalan. Lagaknya seperti orang terlihat hantu kerana sewaktu dia hendak melintas jalan di lintasan pejalan kaki itu, dia seperti menyaksikan suatu kemalangan di hadapan matanya sendiri. Lantas dia terus berlari ke tengah jalan untuk melihat orang yang dilanggar itu. Yang peliknya, orang yang dilanggar itu seperti pernah dilihatnya. Tetapi apabila dia sampai di tengah jalan itu, kesan kemalangan tidak langsung ada seperti yang dilihatnya tadi. Dia seperti mengalami satu mimpi yang amat mengejutkan seluruh adrenalinnya. Dia hanya terpaku di situ tanpa sebarang riak. Kakinya seperti ditindih batu, tidak mampu bergerak untuk melangkah. Sehinggalah dia berasa dirinya ditarik oleh seseorang, barulah dia berada dalam keadaan yang sedar namun tidak sedar sepenuhnya. Dia ditarik sehingga ke tepi jalan oleh seorang gadis yang kelihatan seperti mengenalinya.
            “Akmal, awak ni dah kenapa? Terpinga-pinga kat tengah jalan macam tu. Bahaya awak tahu tak? Dahlah awak baru lepas keluar hospital, awak sebenarnya nak ke mana ni?”
Kata-kata gadis itu seperti tidak terkesan di telinganya. Dia hanya terpinga-pinga seperti orang bodoh. Hakikatnya dia masih terbayang-bayang akan apa yang dilihatnya tadi. Otaknya masih belum bersedia untuk bertindak balas dan menerima apa-apa maklumat setakat ini. Dia masih dalam keadaan terkejut!
            “Akmal, hey Akmal! Kau okey ke?”
Gadis itu melambai-lambaikan tangannya ke arah wajah Akmal untuk menyedarkan ‘lamunannya’. Kelihatannya gadis itu beriak wajah risau apabila melihat keadaan Akmal yang seperti itu. Akhirnya Akmal tersedar daripada peristiwa itu dan menunjukkan riak wajah hairan melihat gadis itu di hadapannya.
            “Err, Dian, macam mana kau boleh ada dekat sini?”
Akmal terkejut melihat gadis di hadapannya. Dalam fikirannya tertanya-tanya bagaimana gadis itu boleh muncul di hadapannya dalam keadaannya seperti itu. Dalam keadaan kebingungan itu, Akmal mengikut juga derap langkah gadis itu sehingga sampai di sebuah restoran yang berdekatan.
            “Okay, tell me what happen to you Akmal?”
Akmal hanya mampu berdiam diri. Lidahnya hanya kelu dan mulutnya tidak mampu mengeluarkan sebarang kata-kata.
            “Hey, Akmal! Kau ni kenapa? Cuba cerita dekat aku. Kenapa kau berdiri kat tengah jalan macam orang gila tadi?”
            “Err, Dian. Aku nak pergi rumah Hariz. Dah lama rasanya tak jumpa dia. Lagipun aku telefon tak berjawab. Masa kat hospital pun dia tak ada melawat aku. Mungkin dia sibuk kot. Sebab itulah aku nak pergi rumah dia. Jomlah kita pergi rumah dia sekali.
            “Akmal, sebenarnya aku nak cakap pasal Hariz ni. Err, sebenarnya Hariz…
Tiba-tiba telefon bimbit Akmal berbunyi nyaring minta dijawab dan fokusnya telah beralih kepada telefonnya. Setelah dia selesai bercakap di telefon, Dian telah tiada di meja tersebut. Sekali lagi dia kebingungan!

**************************************************************

Hujan lebat berselang seli dengan guruh yang berdentum pada malam itu membuatkan penglihatan Akmal amat kabur. Disebabkan curahan hujan yang amat lebat itu ditambah pula dengan keadaan malam yang gelap gelita itu menambahkan lagi kekaburan di matanya. Dia sedang berada di sebuah perhentian bas yang diterangi dengan sebatang lampu jalan yang samar- samar cahayanya. Dalam kesamaran malam itu, Akmal dapat melihat susuk tubuh seseorang yang sedang melintas jalan menuju kepadanya. Mungkin seseorang itu juga sepertinya mahu menunggu bas. Tiba-tiba dia terlihat cahaya lampu sebuah kereta sedang meluncur dengan laju membelah jalan raya betu-betul menuju kepada susuk tubuh seseorang itu. Berkemungkinan pemandu kereta itu tergesa-gesa dan tidak nampak ada orang mahu melintas jalan itu lalu,
Bammmm!!!
Kereta itu telah melanggar seseorang itu dengan dahsyat sekali. Susuk tubuh orang itu terpelanting sehingga ke belakang kereta. Darah berwarna merah pekat memercik jalan raya. Akmal terpaku dan tidak tahu berbuat apa-apa. Kejadian itu betul-betul berlaku di hadapan matanya. Baru dia teringat bahawa kejadian itu telah pun disaksikannya semasa dia di lintasan pejalan kaki tadi. Dia terus bergegas ke tengah jalan untuk melihat keadaan orang yang mengalami kemalangan itu. Tetapi apabila dia sampai di situ, jalan itu kosong dan tiada pun kesan-kesan kemalangan. Akmal tercengang dan bertambah hairan. Sememangnya inilah kejadian yang telah berlaku semasa dia di lintasan pejalan kaki tadi. Tiba-tiba ada satu cahaya yang menyilaukan mata menuju laju kepadanya. Ternyata sebuah kereta meluncur laju kepadanya dan,
            “Arrrgghhh!!!”
Akmal terbangun daripada tidurnya. Tubuhnya dibasahi dengan manik-manik peluh seperti dia baru lepas berlari. Bajunya lencun dibasahi peluh. Badannya pula terketar-ketar kerana amat terkejut dengan mimpi yang dialaminya sebentar tadi. Dia melihat jam tangannya yang menunjukkan pukul tiga pagi.
            “Ah, aku mimpi rupanya. Tapi kenapa aku mimpi macam tu?”
Pelbagai persoalan berasak-asak di kepalanya. Dia langsung tidak dapat tidur pada malam itu kerana terlalu banyak pertanyaan yang timbul di kepalanya.

*************************************************************

Ding, dong, ding, dong.
Loceng rumah Akmal berbunyi berulang kali membuatkan dia terjaga daripada tidur. Akibat dengan mimpi yang sama berulang kali mengganggu tidurnya, dia tidak dapat tidur dengan nyenyak pada setiap malam dan kepalanya berasa sakit. Akmal lantas membuka pintu rumahnya dan melihat susuk tubuh yang amat dikenalinya berada di depan pintu. Lantas dia memeluk tubuh itu dengan erat.
            “Riz, aku rindu kau. Kau pergi mana? Aku telefon kau tak jawab”
            “Aku ada je kat sini Mal. Kau okey ke ni? Muka macam serabut je. Kau ada masalah ke?”
            “Memang aku ada masalah Riz. Masuklah dulu, nanti aku cerita.”
Mereka memasuki rumah Akmal sambil berbual-bual bersama. Hariz membancuh dua cawan air kopi untuk mereka berdua. Sudah menjadi kebiasaan apabila Hariz bertandang ke rumah Akmal, dia akan membancuh air kopi buat mereka berdua.
            “Hah, ceritalah cepat. Apa yang kau nak cerita. Aku dengar ni.”
“Aku mimpi buruk la Riz. Masalahnya mimpi berulang-ulang setiap malam kot. Aku sampai takut tinggal kat rumah ni sorang-sorang.”
Hariz berdiam diri seketika sambil menghirup air kopi yang dibancuhnya. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang riak. Dia seperti di dalam dunianya sendiri. Hanya memandang terus ke hadapan, seperti mengelamun yang jauh. Setelah berjeda seketika, Hariz meletakkan cawannya lalu memandang tepat ke wajah Akmal.
            “Apa yang kau takutkan Mal? Biasalah mimpi kan. Orang cakap kalau kita mimpi orang yang sama berulang kali maknanya orang tu rindukan kita.”
            “Kau ni merepek apa ni Riz. Orang tu pun aku tak tahu siapa. Eee, dah la seram mimpi tu, kau pulak kata rindu la apa lah. Bukan nak membantu, lagi takut adalah.”
Akmal membalas kata-kata Hariz dengan muka yang cuak. Hariz hanya memandang wajah Akmal sambil tersenyum.
            “Tapi kan Riz, aku pelik la, aku kan accident bulan lepas. Aku sedar aku ada langgar orang. Tapi aku tak jumpa langsung dan tak tahu langsung pasal orang tu. Kau ada melawat aku kan masa aku koma hari tu? Kau ada jumpa tak orang yang aku langgar tu?”
Hariz hanya menggelengkan kepalanya sebagai membalas pertanyaan yang ditanya oleh Akmal.
            “Haa, lagi satu Riz, dua tiga hari lepas aku ada terjumpa tunang kau, Dian. Tak sempat aku berborak dengan dia, tiba-tiba dia dah hilang. Dia ada bagi tahu kau tak yang dia jumpa aku?”
Sekali lagi Hariz hanya menggelengkan kepalanya sebagai tanda dia menjawab soalan Akmal. Geram dengan jawapan ringkas yang diberi oleh Hariz, Akmal telah membaling bantal kecil tepat kena pada muka Hariz sebagai melepaskan geram.
            “Hoi, apa baling-baling ni! Hilang kehenseman aku tahu tak?”
            “Kaulah punya pasal, punyalah panjang aku tanya kau, kau main geleng je kan dengan aku. Haa, padan muka kau Riz. Eh, jomlah kita keluar. Aku dah tepu dah dekat dalam rumah ni. Lagipun aku dah lama tak lepak dengan kau. Malam ni kau tidurlah kat rumah aku.”
            “Aku on je, dah siap dah ni. Tunggu kau siap je. Cepatlah siap.”

**************************************************************

Mereka sampai di Mc Donald Mid Valley. Mereka pergi menaiki teksi kerana kereta masing-masing ada di bengkel. Mereka berjalan sambil berbual-bual antara satu sama lain. Semasa berjalan masuk ke dalam Mc Donald itu, Akmal perasan orang sekeliling memandang mereka dengan muka yang pelik tetapi dia langsung tidak mengendahkan pandangan itu. Setelah sampai di kaunter restoran Mc Donald itu, mereka beratur menunggu giliran untuk memesan makanan. Setelah sampai giliran mereka di kaunter mereka memesan makanan mereka.
            “Kau nak makan apa Riz?, kali ni biar aku belanja kau.”
            “Aku nak set Big Mac satu. Kalau macam tu aku tunggu kat meja lah.”
            “okey. Haa, adik kasi Big Mac dua set. Yang besar punya ya.”
            “Err, baik. Sekejap ya Encik.”
Kali ini Akmal berasa bertambah hairan kerana pelayan itu sendiri memandangnya dengan pandangan yang pelik. Ingin sahaja dia bertanya kepada pelayan itu sebab dia memandangnya dengan pandangan begitu, namun hasratnya dilupakan kerana pelayan itu seperti sibuk mengambil pesanan pelanggan lain di situ. Setelah mendapat makanan yang dipesannya, dia melangkah menuju ke meja yang diduduki oleh Hariz. Hariz memilih meja yang agak tersembunyi daripada meja-meja yang lain supaya mereka boleh berbual dengan selesa. Mereka menikmati makanan mereka sambil berbual-bual.
            “Riz, aku pelik la dengan semua orang hari ni. Semua orang pandang pelik dekat kita daripada kita sampai sini tadi. Kau tak perasan ke?”
            “Ala, biasalah tu Mal, biarkan je la. Bukan luak pun kalau diorang pandang. Lantaklah Mal. Kau buat tak tahu dah lah.”
            “Betul jugak cakap kau tu Riz. Mungkin perasaan aku je kot.”
Mereka menyambung makan tanpa menyedari mereka sedang diperhatikan oleh seseorang. Begitulah rutin Akmal dan Hariz setiap minggu. Hari demi hari berlalu dan sudah tiga bulan Hariz tidur di rumah Akmal. Mereka akan berjumpa selepas habis waktu kerja dan bermain permainan video bersama-sama di rumah Akmal. Tetapi setiap malam Akmal tetap mengalami mimpi yang sama dan hal ini semakin menyesakkan fikirannya. Apabila dia memberitahu kepada Hariz tentang mimpinya, jawapan yang sama juga diberikan oleh Hariz setiap hari sehingga Akmal berasa geram dengan sikap Hariz yang seperti tidak bersungguh-sungguh mendengar ceritanya. Pada masa yang sama juga, tindak-tanduk mereka diperhatikan oleh seseorang sejak sebulan yang lalu. Orang itu sepertinya risau melihat keadaan itu dan belum ada keberanian untuk bersemuka. Sehinggalah pada suatu petang Sabtu, Akmal keluar seperti biasa ke Mid Valley dan singgah makan di restoran di situ. Hariz tidak menyertainya pada hari itu kerana katanya sibuk di tempat kerja.
‘Aku mesti bersemuka dan terangkan perkara yang sebenar kepada dia’  bisik hati orang itu. Dia mengumpul segala kekuatan yang ada untuk bersemuka dengan mereka.
            “Err, hai Akmal. Sorang je ke?”
            “Eh, Dian. Marilah join aku. A’ah, sorang je harini. Riz tu banyak keja kat pejabat katanya. Haa, duduk sini. Aku ada benda sikit nak tanya kau ni.”
Dian menunjukkan riak wajah yang sukar dimengertikan. Wajahnya tampak seperti orang yang serabut memikirkan sesuatu. Wajahnya juga tampak seperti bersedih.
            “Akmal, boleh tak kalau aku nak bercakap dengan kau? Aku ada hal penting yang aku kena jelaskan pada kau. Tapi bukan di sini.”
            “Kau nak jelaskan apa Dian? Macam serius je bunyinya. Sebelum tu aku nak tanya kau. Mana kau pergi hari tu? Lepas aku habis jawab panggilan terus kau taka da.”
Namun Dian hanya diam dan tidak berkata apa-apa tetapi wajahnya kelihatan mendung.
            “Kenapa kau diam Dian? Ada apa-apa yang tak kena ke?”
            “Kau ikut je la aku Mal. Nanti kau akan tahu semuanya. Lagipun sini bukan tempat yang sesuai untuk aku jelaskan semua dekat kau.”
            “Okeylah, kalau kau dah cakap macam tu. Jom.”
Mereka berjalan beriringan keluar daripada restoran tersebut dan menuju ke tempat yang dikatakan Dian.

**************************************************************

            “Apa kau cakap ni Dian? Aku tak fahamlah.”
            “Hariz dah meninggal empat bulan lepas.”
            “Tak, aku tak percaya. Kau ni agak-agaklah nak buat lawak pun. Dia tu tunang kau kot. Sampai hati kau cakap macam tu. Nanti kalau dia betul-betul mati baru kau tahu. Suka sangat buat lawak tak merepek. Aku hari-hari jumpa dia. Kau tak jumpa dia langsung ke?
            “Tu imaginasi kau je la Mal. Hariz dah lama tak ada. Dia dah meninggal. Aku sendiri yang tengok masa pengebumian dia. Kau faham tak?”
            “Tak mungkin Dian, tak mungkin. Aku ada dengan dia tiap-tiap hari. Aku berborak dengan dia, main video game dengan dia, minum kopi, makan dengan dia. Dia ada Dian. Dia ada je dengan aku.
Akmal mula cuak. Dia tidak dapat menghadam perkara yang baru diberitahu oleh Dian itu. Dia sama sekali tidak percaya dengan kata-kata dia. Baginya ini adalah Dian dan Hariz telah merancang untuk mengenakannya.
“Kalau kau tak percaya, kau pergilah ke hospital tempat kau dirawat dulu. Kau tanya sendiri dengan Dr. Anuar yang merawat kau tu. Mata tu. Mata tu. Ah, aku tak mampu nak ceritakan. Cuma aku nak nasihatkan kau. Jangan terlalu ikutkan perasaan kau tu. Baliklah kepada Allah, mohon agar kau dijauhkan daripada segala gangguan. Kalau kau perlukan apa-apa atau kau dah bersedia terima kenyataan, hubungi aku Mal. Aku balik dulu”
“Apa yang kau cakap ni Dian?”
Akmal tidak mampu berkata apa-apa. Dia menjadi semakin keliru dan tertekan. Dia bingung sama ada mahu mempercayai kata-kata Dian ataupun mempercayai dirinya sendiri. Dia sendiri tiada jawapan untuk itu. Ingin sahaja dia memaki dan memarahi Dian kerana berkata seperti itu tetapi lidahnya terkelu bagaikan ais batu. Dian menangis teresak-esak dan ingin berlalu pergi dari situ. Akmal diam tidak berkutik di tempat dia berdiri. Dia hanya memandang pemergian Dian dengan pandangan sepi. Lidahnya kelu untuk bertanya lebih lanjut. Tiba-tiba dia teringatkan Dr. Anuar yang merawatnya empat bulan lalu. Lantas dia bergegas menaiki teksi ke Hospital untuk berjumpa dengan Dr. Anuar. Apa yang penting baginya ialah mencari jawapan kepada setiap persoalan yang membelenggu dirinya selama ini. Dia berharap agar misteri mimpinya selama ini dapat dirungkaikan. Sesampainya di hospital, dia terus berjumpa dengan Dr. Anuar untuk mendapatkan jawapan tentang persoalan yang berasak-asak di benaknya.
Tok, tok, tok,
“Masuk”
“Assalamualaikum Dr, saya nak penjelasan daripada Dr.”
“Waalaikumussalam Akmal. Kalau ya pun, duduklah dulu. Tak runtuh lagi pejabat saya ni. Hmm, apa yang kamu nak tahu?”
“Siapa penderma mata saya?”
“Oh, itu perkara yang sulit. Saya tak boleh bagi tahu sebab penderma mata ni suruh saya rahsiakan.”
“Tolonglah Doktor. Saya betul-betul perlukan jawapan”
“Maaf Akmal, saya tidak boleh memberitahu hal ini kepada sesiapapun. Penderma mata kamu dah amanahkan kepada saya.
Akmal menunjukkan riak wajah yang amat hampa kerana Dr. Anuar tidak mahu memberitahu tentang perihal penderma matanya. Tetapi dia tidak berputus asa. Akmal tahu dia masih boleh mendapatkan sedikit maklumat tentang dirinya dan Hariz.
“Kalau macam tu Doktor ada tak nampak kawan saya datang melawat semasa saya terlantar dulu? Namanya Hariz. Dia cakap, dia selalu datang melawat saya semasa saya koma dahulu.”
Riak wajah Dr. Anuar agak terkejut setelah mendengar pertanyaan Akmal tetapi dikawal dengan baik agar nampak bersahaja.
            “Hariz? Tak ada pulak. Sebab masa kamu kemalangan dulu, kamu dihantar bersama dengan seorang lelaki yang kamu dah langgar. Namanya pun Hariz jugak. Tapi saya tak pastilah sama ada dia kawan kamu atau tak”
Akmal bertambah resah. Dia semakin serabut. Kepalanyanya semakin sakit kerana pelbagai persoalan berasak-asak di mindanya.
            “Di mana Hariz yang saya langgar tu doktor?”
            “Oh, dia sudah meninggal dunia selepas seminggu dimasukkan di wad kerana mengalami pendarahan di kepala. Tetapi kalau kamu hendak tahu lebih lanjut tentang Hariz, kamu boleh berjumpa dengan tunang Hariz. Kalau tidak silap, namanya Dian. Nanti saya beri nombor telefonnya untuk kamu hubungi.”
“Tak mungkin doktor! Tak mungkin! Katakan semua ini tak benar doktor. Tak benar!”
Akmal menjerit seperti orang gila menengking Dr. Anuar kerana baginya semua ini tidak masuk akal. Kepalanya terasa amat sakit. Keadaan di sekelilingnya menjadi berpusing-pusing sehinggalah pandangannya gelap. Dia jatuh pengsan kerana sangat terkejut!

**************************************************************

Malam itu hujan sungguh lebat turun membasahi bumi. Akmal memandu kereta pacuan empat rodanya dengan laju seperti tergesa-gesa mahu sampai di suatu tempat. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi nyaring minta diangkat.
            “Assalamualaikum Mal. Kau kat mana ni?”
            “Waalaikumussalam Riz. Aku tengah memandu ni. Tunggu kejap je, kejap lagi aku sampai.”
            “Haa, kau tak payah ambil aku dekat rumah. Ambil aku di stesen bas dekat dengan rumah aku. Aku dah kat luar ni. Baru nak lintas jalan ke stesen bas ni. Jangan drive laju-laju. Bahaya.”
            “Haa, okey Riz. Aku dah nak sam…
Dummm!!!
Akmal terbangun daripada pengsan. Dia ternampak Dian duduk di atas kerusi di sebelah katilnya di hospital itu sambil memandangnya.
            “Dian, betulkah apa yang kau cakap selama ni? Hariz dah tak ada? Aku yang langgar?”
Dian hanya mengangguk tanpa mengeluarkan sebarang kata. Hanya airmata yang mengalir di lekuk pipinya. Pada saat melihat anggukkan daripada Dian, lutut Akmal terasa lembik dan dia jatuh terjelepuk di lantai hospital. Terasa seluruh anggota badannya lumpuh sebaik sahaja mengetahui kenyataan itu. Dia menangis dan memukul-mukul kepalanya berkali-kali. Ternyata dialah punca sahabatnya meninggal dunia. Hatinya bagaikan ingin meletup kerana terlalu banyak melepaskan kesedihan apabila mendapat tahu perkara tersebut. penyesalan bertimpa-timpa membebani dirinya dan dia juga menyedari hal ini tidak dapat diperbaikinya lagi. Hakikatnya, dia telah kehilangan satu-satunya sahabat yang dia sayang!

*************************************************************

Dian membawa Akmal ke tanah perkuburan untuk menunjukkan kubur Hariz kepada Akmal. Setelah melihat kubur Hariz, Akmal menangis dan meraung kerana rasa bersalah yang teramat kepada Hariz. Dia berulang kali merintih dan memohon maaf kepada Dian.Dia sememangnya tidak menyangka sama sekali bahawa dialah orang yang melanggar sahabatnya itu. Kini baru dia mendapat jawapan kepada mimpinya yang saban hari mengganggu lenanya. Keluhan demi keluhan menyesal dikeluarkan daripada mulutnya kerana dibebani rasa bersalah dan sedih di atas kematian sahabatnya yang dia sendiri bunuh!
            “Mata yang kau ada sekarang tu ialah mata Arwah Hariz, Mal. Kau jagalah mata itu baik-baik Mal. Aku tahu, Riz sangat sayangkan kau Mal. Apa-pun yang dia buat, dia akan ingat kau. Sebelum dia meninggal, dia ada pesan kepada aku supaya aku beritahu kepada kau yang walau di mana pun kau berada, walau ke mana pun kau pergi, dia tetap ada dengan kau.”
            “Tapi aku rasa bersalah sangat Dian. Aku dah langgar dia.”
            “Benda dah berlaku Mal. Dah takdir. Mungkin ada hikmahnya. Aku redha Mal. Tuhan lebih sayangkan Hariz. Kita kena terima takdir ni Mal. Bukan kau saja yang sedih. Aku pun sedih. Kalau kau teringatkan dia, kau sedekahkanlah surah Al- Fatihah kepada dia. Setidak-tidaknya kita dah buat sesuatu untuk dia di sana.”

**************************************************************

Selepas dua tahun, Akmal telah mampu menerima takdir yang menimpanya. Sejak itu dia tidak lagi dibelenggu dengan mimpi yang dialaminya dahulu. Hidupnya kini tenang. Tetapi kadang kala dia ada juga melihat susuk badan Hariz di mana-mana. Hariz hanya memandangnya dari jauh dengan riak wajah tenang sambil tersenyum dan setiap kali dia ternampak Hariz, dia akan terus sedekahkan surah Al-Fatihah kepada arwah Hariz. Sesungguhnya dia amat sayangkan sahabatnya itu. Teringat dia kepada kenangan mereka berdua. Kata-kata Hariz dahulu masih tersisip kemas di dalam ingatannya.
            “Mal, kalau aku dah tak ada nanti, kau jangan sedih. Sebab aku akan ada di mana-mana saja kau berada dan ke mana saja kau pergi. Aku akan melihat melalui mata kau.
Masih segar diingatannya kata-kata Hariz sambil tersenyum kepadanya suatu ketika dahulu.
“Hariz, aku sangat rindukan kau, sahabat. Semoga kau bersemadi di sana dengan tenang.”