MUZIK RELAX

Wednesday 6 April 2016


SECANGKIR NOTA MENGENAI PENULIS BLOG


Nama diberi Nur Irliani Binti Mohamad Zikri. 

Berumur 22 tahun.

Tarikh Lahir 12 Januari 1994.

Dilahirkan di Hospital Bersalin Pulau Pinang.

Menetap di Kampung Bukit Teh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama nenek yang tersayang.

Beragama Islam dan warganegara Malaysia.

Berbangsa Melayu.

Anak pertama daripada empat orang adik beradik.

Taraf Pendidikan:

Tabika Kemas Bukit Teh 
(1999-2000)

Sekolah Kebangsaan Bukit Teh
(2001-2006)

High School Bukit Mertajam (HSBM)
(2007-2013)

Universiti Sains Malaysia (USM)
(2014 sehingga kini)

SAJAK


SEKEPING HATI


Hati 
Senipis kertas
Lembutnya bak baldu
Terhiris ia terluka
Direnyuk juga terluka
Terguris calarlah ia
Sakitnya pedih terasa
Jika terkoyak sekeping hati
Tak akan mungkin bersatu kembali
Jika ronyok sekeping hati
Tak mungkin ia licin lagi

Melainkan
Jahitnya dengan jarum keikhlasan
Gunakan bersama benang kasih
Simpulkan ia dengan sayang
Warnakan semula dengan cinta

Mungkin 
Hati tak seindah dulu
Terpampang seribu parut sendu
Namun kepingan itu kian berseri
Terisi dengan pelbagai seni
Terukir indah berwarna warni
Bernyawa kembali sekeping hati

Tuesday 5 April 2016

PUISI


MENCARI SINARMU


Gerimis hadir lagi
Seakan mengerti gelodak hati
Tatkala guruh memecah sunyi
Hati bagai ditikam belati
Pabila kilat memancar sinar
Terasa diri seakan sirna
 Gelap gelita seluruh semesta
Seakan  lumpuh segala anggota

Namun ku gagahkan jua kaki melangkah
Lantas mencari tebaran sinarMu yang suci
Sinar yang menggamit kesedaran diri
Dari terlena di ranjang kealpaan duniawi.

PEMIKIRAN KERIS MAS DALAM NOVEL SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR

KREATIVITI DAN SENSITIVITI KERIS MAS DALAM MENGARANG NOVEL SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR.


Novel ini secara keseluruhannya cuba membincangkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah digubal oleh kerajaan pada tahun 1970 setelah berlakunya tragedi hitam negara pada 13 Mei 1969. 

Selepas sahaja peristiwa berdarah itu, pihak kerajaan tersedar dan insaf bahawa betapa perlunya mereka merangka beberapa dasar untuk dijadikan panduan dalam memelihara kedaulatan negara dan membangunkan sumber-sumber yang dimiliki demi untuk pembangunan rakyatnya yang berbilang kaum. DEB dengan strategi pentingnya untuk memupuk semula perpaduan dan membina semula negara selepas 13 Mei 1969.

Sebagai pengarang yang berpegang teguh kepada konsep ASAS 50, iaitu Seni untuk Masyarakat, Keris Mas juga dapat dilihat menggerakkan novel itu daripada ideologi tersebut. Selain itu, novel ini juga ditulis berkemungkinan kesan daripada buku Revolusi Mental tulisan Datuk Senu Abdul Rahman (1970) yang membincangkan tentang ehwal sejarah bangsa Melayu.

Keris Mas menggunakan buku Revolusi Mental dalam penulisan novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur kerana semangat Melayu yang cuba dimotivasikan oleh buku ini jelas dapat dilihat pada seorang tokoh utama yang menjadi pusat naratif novel ini, iaitu Encik Muhammad. Hampir keseluruhan sikap yang cuba dimotivasikan itu terimej pada watak tersebut.

Namun begitu, perbincangan ini hanya akan menumpukan kepada inti pati penting daripada DEB untuk melihat sejauh mana pandangan Keris Mas terhadap pelaksanaan dasar di Malaysia.

DEB telah dibahagikan kepada tujuh perkara sebagai garis panduan kerajaan mencapai dasar tersebut dan Keris Mas telah menerapkan beberapa dasar yang penting dan seterusnya menjadi pokok perbincangan dalam novelnya.

Perkara pertama, dalam DEB ialah pengurangan ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum secara muktamad dari segi pendapatan, pekerjaan dan kekayaan. Seperti yang dicatatkan dalam Buku Dasar Ekonomi Baru: Inti pati, matlamatnya adalah untuk membawa perubahan dalam sistem ekonomi terutamanya dalam kalangan orang Melayu kerana kerajaan percaya bahawa sistem 'aparteid' telah digunakan oleh kolonial Inggeris dalam agihan ekonomi di Tanah Melayu demi keselamatan mereka.

Demi mengubah status orang-orang Melayu yang telah ketinggalan jauh itu, kerajaan telah menyarankan agar orang-orang Melayu bekerja keras dalam meningkatkan taraf hidup mereka. Mereka perlu melibatkan diri secara aktif dalam ekonomi negara. Cadangan kerajaan ini adalah untuk melihat kebolehan dan memberi pengalaman kepada orang Melayu dalam pembahagian dan pembangunan sumber ekonomi.

Dalam novel ini, Keris Mas telah memberi peranan penting kepada Encik Muhammad, iaitu seorang saudagar yang menguruskan sebuah anak syarikat milik saudagar Cina, Datuk Tan Chong Seng. Syarikat ini menguruskan import eksport lada hitam. Namun kebijaksanaan dan sikap hemah Encik Muhammad telah melawan arus sikap orang Melayu lama. Kebenaran ini diperlihatkan apabila Datuk Tan kagum pada kebolehan dan keberanian Encik Muhammad dalam membuat sesuatu rundingan perniagaan. Kekaguman Datuk Tan kepada Encik Muhammad dalam mentadbir dan mengurus anak syarikatnya menyebabkan beliau menjadikan Encik Muhammad sebagai rakan kongsi perniagaan dalam syarikat import eksport lada hitam.

Berdasarkan contoh di atas, Keris Mas cuba membentuk personaliti watak Melayu yang dikehendaki oleh DEB. Dalam dasar kerajaan tersebut orang Melayu harus diberi peluang saksama membentuk kekayaan baru dalam proses pembangunan negara. Selain itu orang Melayu juga harus berani merebut peluang, seperti Encik Muhammad yang mencuba menerima cabaran dan risiko dalam bidang perniagaan.

Dalam perkara pertama DEB itu juga dimaklumkan bahawa untuk memperkembangkan kebolehan orang Melayu, langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan dalam mempertingkatkan kebolehan orang-orang Melayu ialah memberikan pendidikan dan latihan kemahiran terutama kepada generasi muda. Pendidikan penting dalam pembangunan sesebuah negara kerana generasi mudalah nanti yang akan mewarisi kepimpinan negara seterusnya.

Selain untuk membangunkan negara melalui pendidikan, kerajaan juga melihat faktor pendidikan sebagai tonggak penting membentuk satu sistem nilai baru kepada generasi muda terutamanya dari segi perpaduan negara dan penyatuan kaum. Seruan kerajaan ini telah dilukiskan oleh Keris Mas pada watak Rahim, iaitu anak kepada Encik Muhammad dan Robert, anak kepada Datuk Tan. Kedua-dua mereka sedang menuntut di England, berumur 23 tahun, rakan karib dan mengambil pengkhususan dalam bidang yang sama, iaitu kejuruteraan lombong.

Kedua-dua watak ini sebenarnya ialah wakil generasi muda yang menjadi harapan kerajaan untuk sama-sama menggerakkan pembangunan negara seperti dalam pernyataan DEB tentang pentingnya pendidikan dalam negara membangun.

Sehubungan dengan itu, jika kita melihat bidang pengkhususan yang diambil oleh kedua-dua anak muda itu juga selaras dengan galakan kerajaan yang mahu bidang kemahiran tinggi. Pengkhususan yang diambil oleh kedua-dua anak muda itu juga secara tersirat digambarkan oleh Keris Mas betapa bidang kejuruteraan yang sinonim dengan pembangunan adalah penting dan simbol kepada pembangunan negara.

Selain itu, imej Rahim yang mewakili orang Melayu dan Robert yang mewakili orang Cina dan merupakan rakan karib sejak bersekolah lagi adalah imej perpaduan antara kaum yang cuba diutuskan oleh Keris Mas dalam novel ini.

Dalam perkara pertama DEB juga disentuh tentang rancangan pembangunan wilayah baru atau dikenali sebagai tanah rancangan seperti Felda. Melalui program tanah rancangan ini, kerajaan menempatkan orang Melayu dan seterusnya menyediakan sumber pekerjaan kepada mereka. Tujuan tanah rancangan ini adalah untuk mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi orang Melayu yang keseluruhan masih tinggal di desa-desa yang telah kekurangan sumber dan mengalami kejumudan sikap menyebabkan mereka berada dalam kemiskinan. Program tanah rancangan ini juga berkaitan dengan perkara kedua DEB yang penting, iaitu membasmi kemiskinan terutama orang-orang Melayu. Mengikut pemerhatian kerajaan yang serius, pada tahun selepas merdeka kadar kemiskinan sangat tinggi di kawasan luar bandar dan juga orang-orang Melayu di bandar.

Justeru, dalam Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Keris Mas menggambarkan imej orang Melayu di Lembah Tualang dan Jeram Medang, iaitu kampung Encik Muhammad yang rata-rata masih bergantung hidup pada sawah dan getah yang pada waktu itu tidak lagi menjadi sumber pendapatan penting. Faktor ini menyebabkan penduduk Melayu di situ berada dalam kemiskinan. Untuk menyelesaikan kemelut kemiskinan yang dialami oleh kebanyakan penduduk Lembah Tualang dan Jeram Medang, Encik Muhammad, telah mengusahakan perpindahan orang Lembah Tualang dan Jeram Medang ke tanah rancangan Felda.

Dalam perkara ketiga DEB pula, kerajaan mahu melibatkan orang-orang Melayu ke dalam sektor-sektor moden. Penglibatan orang Melayu ini penting demi menjamin kesamarataan agihan sumber hasil bumi negara dengan bangsa asing.

Oleh itu melalui Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Keris Mas telah meneroka satu bidang yang baru walaupun bidang ini sebenarnya telah diceburi oleh pembesar Melayu di zaman kolonial British dahulu. Bidang yang dimaksudkan itu ialah bidang perlombongan bijih timah. Lembah Tualang ini menurut pendapat pakar kaji bumi masih lagi kaya dengan hasil bijih timah. Hal ini menarik minat Datuk Tan dan rakan kongsinya Encik Muhammad yang mempunyai pengaruh keturunan di Lembah Tualang untuk menjalankan kembali projek cari gali bijih timah di sana.

Hasrat ini secara tidak langsung menggambarkan bagaimana proses kemasukan orang Melayu, Encik Muhammad ke dalam satu bidang perniagaan yang moden, iaitu dalam sektor perlombongan. Di samping itu, kerjasama yang digambarkan antara Datuk Tan dan Encik Muhammad melambangkan bagaimana bentuk agihan itu boleh terjadi.

Dalam perkara keempat DEB pula kerajaan mahu menggiatkan penggunaan sumber tenaga sepenuhnya dalam sektor moden. Dalam erti kata lain kerajaan mahu mengurangkan masalah pengangguran terutama dalam kalangan orang Melayu.

Perkara kelima DEB pula menggariskan bentuk peranan kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan serta agensi yang berkaitan dalam membentuk ekonomi negara. Dalam novel ini, watak YB Muhammad Yusuf adalah sebagai wakil kerajaan negeri. Beliau menjadi rujukan Encik Muhammad dalam menyelesaikan isu tanah penduduk Lembah Tualang dan Jeram Medang. Dengan kuasa kerajaan yang miliki oleh YB Muhammad Yusuf, beliau telah menguruskan perpindahan penduduk Lembah Tualang ke tanah rancangan Felda.

Sebagai seorang pengarang Islam, Keris Mas telah memberi penilaian kepada DEB yang secara keseluruhan masih mempunyai kelemahan. Kelemahan yang dikesani oleh Keris Mas ialah tentang aspek pembangunan rohaniah Islam. Atas kesedaran ini juga, Keris Mas telah melontarkan pemikirannya tentang perlunya pembangunan agama seiringan dengan pembangunan fizikal agar pembangunan yang ingin dicapai dan dicita-citakan oleh kerajaan itu lengkap dan sempurna. 

Justeru melalui tokoh generasi muda Rahim yang mendapat pendidikan di luar negara dan Lebai Maarup yang hanya mendapat pendidikan setakat SPM melontarkan pesan kepada Muhammad dan juga kerajaan bahawa dalam mengejar kekayaan asas-asas keagamaan jangan dipinggirkan.

Selain itu, Encik Muhammad, iaitu seorang saudagar dari Kuala Lumpur yang menjadi judul novel secara simboliknya ialah imejan kepada DEB. Rahim secara simbolis mewakili golongan intelektual-akademik yang akhirnya berjaya mengingatkan ayahnya tentang nilai-nilai budaya bangsa yang harus dipelihara dalam mengejar kekayaan material.

Lebai Maarup pula lambang kepada golongan agama-ulama yang mahu pembangunan rohani tidak dipinggirkan juga akhirnya berjaya mengingatkan Encik Muhammad tentang kepentingan agama dalam mengejar pembangunan fizikal. Manakala YB Muhammad Yusuf lambang kepada kuasa kerajaan. Begitulah Keris Mas membuat penilaiannya terhadap DEB yang dirangka oleh kerajaan untuk memacukan pembangunan negara Malaysia.


Rujukan:

Shahnon Ahmad, Konsep wira Melayu moden dalam novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Di dalam Siti Aishah Murad (selenggaraan), Konsep wira dalam sastera Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993.

Abd. Aziz Alias, (2005), Konsep Perjuangan dan Kepimpinan Keris Mas: Satu Penerapan Teori Konseptual  Kata Kunci.

Monday 4 April 2016

NOVEL SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR



SINOPSIS NOVEL SAUDAGAR BESAR 

DARI KUALA LUMPUR





        Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur mengisahkan tentang liku-liku kehidupan yang dihadapi oleh Encik Muhammad dalam mengusahakan empayar perniagaannya. Encik Muhammad merupakan salah seorang daripada  pengarah sebuah firma perdagangan yang terkenal di Kuala Lumpur dan mempunyai rakan kongsi perniagaannya iaitu Tan Sri Syed Aris dan Datuk Tan. Encik Muhammad merupakan seorang ahli perniagaan yang bercita-cita besar dan telah membuka sebuah ladang orkid yang diuruskan oleh isterinya iaitu Cik Puan Tipah. Beliau juga merancang untuk membuka sebuah kawasan perlombongan di Lembah Tualang. Antara kampung yang terlibat ialah kampungnya sendiri iaitu Kampung Pulai.

        Encik Muhammad menghadapi masalah dan rintangan dalam memajukan Lembah Tualang sebagai kawasan perlombongan kerana terdapat beberapa halangan daripada orang kampungnya. Beliau terpaksa membeli tanah orang kampung dan memindahkan mereka ke kawasan tanah rancangan Felda. Pada masa yang sama, masyarakat memandang serong terhadapnya setelah tersebarnya khabar angin yang mengatakan bahawa rancangannya memajukan Jeram Medang sebagai pusat maksiat.

      Sementara itu, Rahim yang merupakan anak Encik Muhammad yang belajar di luar negara turut menentang cadangan Encik Muhammad dan menganggapnya sebagai seorang pemeras, tamak dan zalim. Bagi mendapatkan sokongan anaknya, Encik Muhammad cuba merapatkan Mahani iaitu anak Tan Sri Syed Aris dan mengahwinkan mereka. Encik Muhammad Yusof iaitu wakil rakyat Lembah Tualang juga telah membantu Encik Muhammad menyelesaikan masalah penempatan penduduk Kampung Pulai ke tanah rancangan Felda.

       Masalah Encik Muhammad masih belum selesai apabila rancangannya turut diganggu oleh Lebai Maarup iaitu merupakan salah seorang penduduk di Kampung Pulai. Lebai Maarup merupakan seorang anak muda yang mempunyai tanah di situ dan tidak mahu menjualkan tanahnya, sebaliknya ingin mewakafkannya.

nota:untuk cerita yang lebih lanjut, sila dapatkan novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur 

Rujukan:

Keris Mas, Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2003

KARYA-KARYA YANG DIHASILKAN



        Sasterawan Negara Keris Mas telah meninggalkan khazanah yang cukup bernilai dalam kesusasteraan Melayu moden Malaysia. Beliau dianggap sebagai penulis cerpen Melayu era baru yang cukup penting selepas A.Rahim Kajai dan Ishak Haji Muhammad. Walaupun cerpen yang dihasilkannya sekitar 75 buah dalam tempoh 43 tahun kreativitinya, tetapi jumlah tersebut memperlihatkan persepsi dan pemikiran Keris Mas yang cukup tinggi terutamanya yang menyentuh soal sosiobudaya orang Melayu dalam tahap tiga zaman: Zaman penjajahan (selepas Perang Dunia Kedua), sebelum merdeka, dan pasca merdeka.


      Terdapat beberapa buah cerpen Keris Mas yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti bahasa Cina, bahasa Korea, bahasa Inggeris dan bahasa Rusia. Sehingga kini, sebanyak 11 buah cerpennya telah diterjemahkan dalam bahasa Cina melalui Penerbitan Minggu Petir, Nanyang Evening, Nanyang Evening Post, Nanyang Siang Pau, Pemuda Pemudi Universiti, dan Nanyang Siang Wen Che. Manakala terdapat pula 3 buah cerpen beliau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris seperti cerpen "They Do Not Understand" (Mereka Tidak Mengerti) dalam Tenggara (1968) dan "The Approach of Independence" (Menjelang Merdeka Dalam Tenggara) 1967.


      Selain terkenal dengan penulisan cerpen yang menarik dan penuh dengan pengajaran, Keris Mas juga mengarang beberapa buah novel. Hasil karya novel-novel beliau ialah Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Anak Titiwangsa, Korban kesuciannya dan Pahlawan Rimba Malaya. Pahlawan Rimba Malaya dikarang oleh beliau selepas penjajahan Jepun sementara itu, novel Korban kesuciannya yang ditulis pada tahun 1949 ditulis semasa beliau bertugas di Utusan Melayu. Seterusnya, novel yang bertajuk Anak Titiwangsa yang telah diterbitkan pada tahun 1967 ditulis oleh beliausewaktu berada dalam kesibukan beliau yang berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu, beliau juga tidak ketinggalan menghasilkan karya-karya yang berbentuk kritikan atau esei, memoir dan wawancara. Antara esei yang dihasilkan oleh beliau ialah Pandangan Umum Tentang Pemikiran dalam Pertumbuhan Kesusasteraan Melayu, Ke Mana Arahnya Kesusasteraan Kita?, Tentang Manusia Berkualiti, Bangsa Malaysia yang Bersatu Padu dan banyak lagi.


    Pengetahuan serta pembacaan Keris Mas adalah meluas dan beliau dapat melontarkan semula idea-idea daripada pembacaannya menerusi perbuatan mahupun tulisan. Beliau juga mempunyai personaliti yang tegas, petah berbicara dan berhujah serta mempunyai sikap yang ramah-tamah. Sejak tahun 1947, hingga beliau menghembuskan nafas terakhir, hidup beliau tidak pernah terpisah daripada kegiatan sastera. Malah seluruh hidup beliau dikorbankan untuk melibatkan diri dalam pembangunan dan perkembangan sastera Melayu iaitu sebagai wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan dan pengkritik sastera.


    Oleh hal yang demikian, penulisan yang dihasilkan oleh Keris Mas tidak kira cerpen, novel, esei atau kritikan, mahupun memoir dan wawancara sememangnya mempunyai mesej yang tersendiri di dalamnya. Beliau merupakan seorang sasterawan yang amat tinggi wawasannya. Selain itu, beliau merupakan seorang penulis yang kreatif serta mempunyai pandangan yang jauh dalam penghasilan karyanya. Oleh sebab itu, karya-karya yang dihasilkannya itu sangat berkualiti dan dihargai serta diingati sehingga sekarang.





CERPEN YANG DIHASILKAN

1) RUNTUH
2) KEJADIAN DALAM ESTET
3) MENJUAL TANAH AIR
4) MENJELANG MERDEKA
5) MEREKA TIDAK MENGERTI
6) SALAH PIMPIN
7) DARAH DAN AIR MATA
8) BUKAN KERANA DIA


NOVEL YANG DIHASILKAN

1) SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR
2) RIMBA HARAPAN
3) ANAK TITIWANGSA
4) KORBAN KESUCIANNYA
5) PAHLAWAN RIMBA




           



Rujukan:

Abd Aziz Alias, (2005). KonsepPerjuangan dan Kepimpinan Keris Mas: Satu Penerapan Teori Konseptual Kata Kunci.

Keris Mas, 1922-1992. Memoir Keris Mas: 30 tahun sekitar sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979.



Sunday 3 April 2016

BIODATA RINGKAS

SERBA SEDIKIT TENTANG

SASTERAWAN NEGARA YANG PERTAMA

KERIS MAS






"Untuk mencapai sesuatu kita berjuang dan kita berjuang juga untuk tercapai itu"- Keris Mas

        Keris Mas atau nama sebenar Kamaludin Bin Muhammad merupakan seorang tokoh Sasterawan Negara yang pertama di negara ini. Beliau telah dianugarahkan sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1981.

        Keris Mas dilahirkan pada tanggal 10 Jun 1922 di Kampug Ketari, Bentong, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bentong sehingga darjah 5. Kemudian, beliau bersekolah pula di Sekolah Tawalib di Sumatera da seterusnya mengikuti pengajian di Kolej Kuliahtul Al-Islamiah (maktab Perguruan Islam) dan telah mendapat Diploma Perguruan. apabila kembali ke Malaya pada tahun 1940, beliau ke Singapura pula dan belajar di Pitman's College. Namun begitu, beliau tidak sempat menghabiskan pengajiannya kerana pada masa itu perang dunia kedua telah meletus. 

          Selepas perang selesai, Keris Mas bergabung dengan parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) cawangan Pahang dan telah menjadi Pegawai Penerangan parti tersebut. Selain itu, beliau juga pernah bertugas sebagai Anggota Sidang Pengarang Akhbar Utusan Melayu Singapura pada tahun 1947. Kemudian, beliau menjadi Wartawan Melayu Raya Singapura pada tahun 1953. Pada tahun 1954 hingga 1955, Keris Mas telah menjadi Wartawan Warta Negara, Pulau Pinang. Seterusnya, pada tahun 1956, beliau telah menjadi Pengarang Umum Dewan Bahasa dan Pustaka, Johor Bahru. Selepas itu, beliau telah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarang Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962 hingga 1971. Jawatan terakhir yang dipegangnya ialah sebagai Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1971 hingga 1977. Beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir pada 9 Mac 1992 akibat serangan jantung dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Muslim di Bukit Kiara. Hilanglah sebutir permata yang berharga.
        


Rujukan:

A.Karim Abdullah, Sasterwan Negara Keris Mas: Tanggapan Tokoh dan Sarjana, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001

Dewan Bahasa dan Pustaka. Pusat Dokumentasi Melayu Keris Mas: Sebuah Bibliografi, Kuala Lumpur: Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995.





Friday 1 April 2016

TINTA PENA

Tulislah! Karanglah seberapa banyak cerita yang anda inginkan supaya menjadi terapuitik/homeopati kepada diri sendiri.


Kesusasteraan adalah Keindahan!

Menulislah beserta dengan mata hati!