MUZIK RELAX

Monday 4 April 2016

KARYA-KARYA YANG DIHASILKAN



        Sasterawan Negara Keris Mas telah meninggalkan khazanah yang cukup bernilai dalam kesusasteraan Melayu moden Malaysia. Beliau dianggap sebagai penulis cerpen Melayu era baru yang cukup penting selepas A.Rahim Kajai dan Ishak Haji Muhammad. Walaupun cerpen yang dihasilkannya sekitar 75 buah dalam tempoh 43 tahun kreativitinya, tetapi jumlah tersebut memperlihatkan persepsi dan pemikiran Keris Mas yang cukup tinggi terutamanya yang menyentuh soal sosiobudaya orang Melayu dalam tahap tiga zaman: Zaman penjajahan (selepas Perang Dunia Kedua), sebelum merdeka, dan pasca merdeka.


      Terdapat beberapa buah cerpen Keris Mas yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti bahasa Cina, bahasa Korea, bahasa Inggeris dan bahasa Rusia. Sehingga kini, sebanyak 11 buah cerpennya telah diterjemahkan dalam bahasa Cina melalui Penerbitan Minggu Petir, Nanyang Evening, Nanyang Evening Post, Nanyang Siang Pau, Pemuda Pemudi Universiti, dan Nanyang Siang Wen Che. Manakala terdapat pula 3 buah cerpen beliau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris seperti cerpen "They Do Not Understand" (Mereka Tidak Mengerti) dalam Tenggara (1968) dan "The Approach of Independence" (Menjelang Merdeka Dalam Tenggara) 1967.


      Selain terkenal dengan penulisan cerpen yang menarik dan penuh dengan pengajaran, Keris Mas juga mengarang beberapa buah novel. Hasil karya novel-novel beliau ialah Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Anak Titiwangsa, Korban kesuciannya dan Pahlawan Rimba Malaya. Pahlawan Rimba Malaya dikarang oleh beliau selepas penjajahan Jepun sementara itu, novel Korban kesuciannya yang ditulis pada tahun 1949 ditulis semasa beliau bertugas di Utusan Melayu. Seterusnya, novel yang bertajuk Anak Titiwangsa yang telah diterbitkan pada tahun 1967 ditulis oleh beliausewaktu berada dalam kesibukan beliau yang berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu, beliau juga tidak ketinggalan menghasilkan karya-karya yang berbentuk kritikan atau esei, memoir dan wawancara. Antara esei yang dihasilkan oleh beliau ialah Pandangan Umum Tentang Pemikiran dalam Pertumbuhan Kesusasteraan Melayu, Ke Mana Arahnya Kesusasteraan Kita?, Tentang Manusia Berkualiti, Bangsa Malaysia yang Bersatu Padu dan banyak lagi.


    Pengetahuan serta pembacaan Keris Mas adalah meluas dan beliau dapat melontarkan semula idea-idea daripada pembacaannya menerusi perbuatan mahupun tulisan. Beliau juga mempunyai personaliti yang tegas, petah berbicara dan berhujah serta mempunyai sikap yang ramah-tamah. Sejak tahun 1947, hingga beliau menghembuskan nafas terakhir, hidup beliau tidak pernah terpisah daripada kegiatan sastera. Malah seluruh hidup beliau dikorbankan untuk melibatkan diri dalam pembangunan dan perkembangan sastera Melayu iaitu sebagai wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan dan pengkritik sastera.


    Oleh hal yang demikian, penulisan yang dihasilkan oleh Keris Mas tidak kira cerpen, novel, esei atau kritikan, mahupun memoir dan wawancara sememangnya mempunyai mesej yang tersendiri di dalamnya. Beliau merupakan seorang sasterawan yang amat tinggi wawasannya. Selain itu, beliau merupakan seorang penulis yang kreatif serta mempunyai pandangan yang jauh dalam penghasilan karyanya. Oleh sebab itu, karya-karya yang dihasilkannya itu sangat berkualiti dan dihargai serta diingati sehingga sekarang.





CERPEN YANG DIHASILKAN

1) RUNTUH
2) KEJADIAN DALAM ESTET
3) MENJUAL TANAH AIR
4) MENJELANG MERDEKA
5) MEREKA TIDAK MENGERTI
6) SALAH PIMPIN
7) DARAH DAN AIR MATA
8) BUKAN KERANA DIA


NOVEL YANG DIHASILKAN

1) SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR
2) RIMBA HARAPAN
3) ANAK TITIWANGSA
4) KORBAN KESUCIANNYA
5) PAHLAWAN RIMBA




           



Rujukan:

Abd Aziz Alias, (2005). KonsepPerjuangan dan Kepimpinan Keris Mas: Satu Penerapan Teori Konseptual Kata Kunci.

Keris Mas, 1922-1992. Memoir Keris Mas: 30 tahun sekitar sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979.



No comments:

Post a Comment